Wednesday, August 7, 2013

-Tazkirah Akhir Ramadhan-

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamu'alaikum wbt...




{وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ}[البقرة:191]
{Fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan}

"...Ramadhan hanya tinggal beberapa ketika saja lagi..
Masih sempat untuk kita sama-sama mengambil keberkatan dari bulan yang mulia ini..
Entahkan sempat atau tidak untuk kita bertemu lagi Ramadhan yang berikutnya..."


Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah melimpahkan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala kepada hamba-Nya ialah lidah. Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada Allah Subhanahu Wata'ala, membaca Al-Qur'an, berdakwah menyeru manusia ke arah mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan memberi nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia. Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah. 

Kita perlu mengetahui bahawa fitnah itu adalah satu perkara yang buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang. Fitnah ialah tuduhan, khabar, kisah dan lain-lain yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan atau membencanakan sesuatu pihak yang dilakukan sama ada dengan perkataan atau tulisan atau isyarat dan gerak-geri dan sebagainya, sama ada perkara itu sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan. Orang yang membuat fitnah itu dikatakan juga sebagai orang yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya adalah haram dan termasuk dalam perkara dosa-dosa besar. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Qalam ayat 10 - 11 tafsirnya: 

"Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan."


Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.

(Surah al-Hujurat, ayat 6).

Firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar itu tidak mengandungi unsur fitnah.

Hal ini bagi mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat. Rasulullah SAW juga bersabda. Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah adalah dosa besar dan berat hingga jadi penyebab tidak memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah. Kesan fitnah sangat buruk hingga boleh memudaratkan seseorang individu, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Ia juga boleh membawa impak sangat besar dalam kehidupan kerana bukan saja menjatuhkan maruah terhadap individu tetapi menyebabkan pertelagahan, rompakan, samun, berbunuhan antara sesuatu individu yang bertelagah.

Fitnah antara keluarga turut menyebabkan sukar untuk memahami antara satu sama lain, hubungan antara keluarga sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram, dendam, tidak mesra, sering bertelagah, pergaduhan, kekasaran, pukul-memukul, bercerai antara suami isteri, kehilangan anak dan lain-lain.

Ketahuilah bahawa tidak ada orang yang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita orang, apatah lagi cerita itu tidak berasas, tidak benar dan hanyalah fitnah semata-mata. Maka jika mendengar sesuatu cerita, berita atau khabar-khabar angin, yang mana cerita, berita atau khabar-khabar angin itu boleh menyebabkan hati orang yang dijadikan bahan cerita itu tidak tenteram, mencemar maruah dirinya dan sebagainya, maka hendaklah orang yang mendengar cerita, berita atau khabar-khabar angin itu tidak menceritakan atau memanjang-manjangkan lagi apa yang telah diceritakan kepadanya. Sebagaimana kita tidak suka diri kita diperkatakan orang, sepatutnya kita tidak juga memperkatakan tentang orang lain. 

Jika difikirkan apakah kebaikan yang boleh diperolehi daripada perbuatan-perbuatan sedemikian? Ianya tidak lain hanyalah menggembirakan orang yang berhati busuk. Sedangkan sebenarnya mereka itu telah terpedaya oleh syaitan sehingga pandangan mereka menjadi kabur, lalu merasakan apa yang mereka lakukan seolah-olah tidak salah, tetapi sebenarnya adalah buruk dan berdosa besar. Perkara ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, bahkan undang-undang dalam bernegara juga menegahnya dan boleh diambil tindakan, lebih-lebih lagi jika fitnah itu boleh menggugat keselamatan dan keharmonian dalam beragama, bermasyarakat dan bernegara. Begitu juga dengan perbuatan mereka-reka dan menyebar khabar angin, baik dilakukan secara individu atau kumpulan yang bertujuan untuk memfitnah atau mengaibkan maruah atau martabat mana-mana pihak.


Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam ayat 19, Surah An Nuur tafsirnya: 

"Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian." 
Membuat fitnah itu dipandang berat dan dilarang oleh agama Islam, sebab ia boleh menimbulkan permusuhan dan permusuhan pula boleh menimbulkan kepada perpecahan dan huru-hara. Fitnah adalah tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas dan perbuatan itu mendatangkan azab di akhirat kelak. Ingatlah! Bahawa semua anggota tubuh badan termasuk lidah akan menjadi saksi di depan penghakiman Allah Subhanahu Wata'ala pada Hari Kiamat. 

Daripada dalil-dalil tersebut jelas menunjukkan bahawa fitnah itu adalah suatu perkara yang sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh yang demikian, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita dari perbuatan menabur fitnah. Maka apabila disampaikan kepada kita suatu berita yang memburuk-burukkan orang lain, maka kita hendaklah memelihara diri kita daripada mendengarnya dan menghebah-hebahkannya kepada orang lain.

Akhirnya peliharalah diri kita dari perbuatan fitnah dan menaburnya. Didiklah diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur-menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat, apatah lagi membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Semoga dengan amalan sedemikian, kita dapat menikmati kehidupan yang aman tenteram dan sentiasa mendapat petunjuk, hidayah dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Ya Rabbal'alamin.



**Fitnah makin berleluasa kini.. Bukan sahaja orang dewasa, malah anak-anak juga sudah setaraf orang dewasa.. Dari mana mereka belajar ? Ini la dikatakan Kepimpinan Melalui Tauladan..  Ahh ! Akhir zaman.. Manusia sudah tidak takut dengan dosa dan azab neraka.. Mereka lebih pentingkan nafsu dan ego diri sendiri.. Moga kita semua dijauhkan dari manusia-manusia berhati busuk begini.. InsyaAllah, ameen..**

-AkU-
Syurga Addin..
17:07 petang..

0 Kata-kata kamu..:

Post a Comment