Wednesday, November 21, 2012

~Novel -10~


Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tanpa disedari masa terlalu cepat berlalu. Segalanya bagai baru semalam berlaku. Daun-daun derita telah gugur menggantikan daun-daun ceria. Semuanya berubah, beredar mengikut masa. Namun tidak pada Seri. Hidupnya seakan terus dihuni dugaan. Disaat teman-teman lain sedang bergelumang dengan buku, Seri keseorangan menghadapi permasalahan yang maha hebat.
     Malam itu Seri pulang dari rumah temannya agak lewat. Seperti biasa Seri terus naik kebiliknya tanpa menegur ibunya diruang tamu. Seri duduk diatas katil sambil tangannya membelek buku-buku yang bertaburan diatas lantai. Pintu biliknya dibuka. Adik tirinya tersenyum lalu menutup suis lampu. Seri terkejut diperlakukan sedemikian rupa.
    “Kenapa tutup lampu? Kakak nak belajarlah!” Seri dah mula panas hati. Suis lampu itu dihidupkan kembali.
      “Abah yang suruh. Abah kata nak tidur, terang sangat,” Iskandar memberi penjelasan. Lampu itu terletak ditengah-tengah antara bilik Seri dan bilik ibunya. Kalau dibuka memang bilik disebelah akan menjadi terang. Tetapi bukanlah terang sangat, samar-samar saja.
    “Jangan nak mengada-ngada. Biarkan saja, kakak nak belajar macam mana kalau lampu tutup? Gelaplah!” Seri meneruskan pembacaannya. Iskandar menutup semula pintu bilik Seri lalu masuk kebiliknya. Dua minit kemudian, dia datang kembali dengan niat yang sama. Seri semakin geram dengan bapa tirinya itu.
     “Kau tak faham bahasakah?” Suara Seri mulai meninggi. Adik tirinya ketakutan, terus lari kebiliknya. Tak lama kemudian menyusul pula bapa tirinya.
     “Kamu tak tahu ke orang nak tidur hah?” sergahnya. Matanya bulat memandang muka Seri.
     “Orang tak ganggu, nak tidur, tidurlah! Orang nak belajar!” Seri menjawab.
    “Masalahnya lampu kamu ni ganggu aku nak tidur, terang sangat!” Suaranya masih lagi tinggi. Seri buat tak peduli. Serentak dengan itu bapa tirinya menutup suis lampu. Seri bingkas lalu membuka semula lampu itu.
   “Kamu jangan kurang ajar, Seri! Petang-petang tadi tak nak belajar, keluar tak tentu hala!” matanya menentang mata Seri.
     “Apa yang bising-bising ni? Tak malu ke jiran-jiran dengar?” Entah bila ibunya naik, Seri pun tak perasan.
   “Kamu nasihatkan sikit anak kamu ni. Tak faham bahasa agaknya!” Bapa tirinya bersuara mempertahankan diri. Seri semakin geram dengan kerenah bapa tirinya itu. Berpura-pura baik konon.
     “Kenapa kau ni Seri? Kalau nak belajar, pergi belajar kat bawah. Kau dah tahu lampu tu terang, pergi belajar tengah-tengah malam ni buat apa? Ganggu orang nak tidur!” Ibunya seperti membela bapa tirinya. Seri masih mendiamkan diri.
     “Itulah yang aku cakap tadi, tapi dia ni tak faham bahasa. Orang nak jaga dia tak nak bagi rosak. Tu lah, kawan dengan budak tak tentu hala!” Bapa tirinya mempertahankan kata-katanya. Seri menjadi marah bila dia mendengar kata-kata itu.
     “Pak cik tak ada hak nak kutuk kawan-kawan Seri! Sedarlah diri, siapa pak cik tu nak nasihat orang!” Serentak dengan itu, satu tamparan hinggap dipipinya. Seri terduduk dia atas katil. Tangannya meraba pipi kirinya. Seri memandang ibunya, semacam tidak percaya diperlakukan sedemikian rupa. Seri menutup muka, dia menangis.
    “Seri, mak tak sengaja. Seri kena faham keadaan mak,” Ibunya cuba memujuk, tangannya mengusap rambut Seri. Seri menepis tangan ibunya. Mungkin ibunya terasa hati, lalu turun ke tingkat bawah.
    “Pak cik bukan nak marah kamu, tapi kamu fikirlah sendiri. Pak cik nak kamu jadi orang yang baik...” belum pun habis ayat itu, Seri telah pun bingkas lalu turun ke bawah dan terus keluar.
     “Seri, nak pergi mana tu?” teriak ibunya tidak diendahkan Seri. Seri terus berjalan menuju ke rumah Elya.
    “Eh! Kenapa kau datang balik? Kau rindu kat aku ye!” Elya menegur sebaik sahaja kakinya melangkah masuk. Seri hanya tersenyum.
    “Elya, hari ni aku tumpang tidur sini ya? Rumah aku dah berkunci,”Seri memberi alasan.
    “Oh ya! Jangan lupa kejutkan eku esok pukul lima pagi tau! Aku nak pergi sekolah,”Seri terus melelapkan matanya. Seri tidur dalam keadaan kehampaan. Hampa dengan tindakan ibunya. Seri menangis bukan kerana sakit, tetapi Seri terkilan. Seumur hidup Seri, tak pernah sekalipun tangan ibunya hinggap ke badannya. Pada Sei, mungkin ibunya tidak sayangkannya lagi. Itu sangkaan Seri. Siapa tahu perasaan hati seorang ibu. Mungkin dia kecewa, mungkin dia terpaksa atau bermacam sebab lagi. Memang manusia tak dapat lari dari kesilapan, itulah kekurangan seorang insan. Namun jangan lupa, setiap kesilapan memerlukan pembetulan, bukan dibiarkan sahaja menjadi kesalahan yang berpanjangan. Lumrah alam.. Allahuakbar.....................

*Bahagia itu datangnya dari hati.. Andai bahagia hati, maka bahagia la hidupnya.. Hati yang sengsara takkan mampu memancar warna kebahagiaan di wajah seorang "kita"*



-AkU-
Syurga Addin..
02:47 pagi..

0 Kata-kata kamu..:

Post a Comment