..PROLOG...
Seri keseorangan di taman permainan itu,
memandang ke hadapan tanpa batasan dan halangan. Taman itu memang biasa dilalui
untuk pulang ke rumah selesai bekerja. Selalunya dia terus pulang, tapi entah
kenapa hatinya seakan ditarik untuk berlabuh sebentar di situ. Tiada apa yang
menarik sebenarnya, namun dicuba juga untuk mencari sebab mengapa hatinya
terlalu kuat untuk bertafakur sebentar di tempat itu. Taman itu senyap dan
sunyi, tiada orang yang lalu-lalang. Kalau ada pun, boleh dikira. Badannya disandarkan
selesa dikerusi itu. Kepalanya didongakkan memandang langit. Langit cerah
dihiasi bintang-bintang bertaburan. Namun begitu, bulan masih tidak kelihatan.
Kalaulah dia ada kuasa, serasa ingin dipadamkan cahaya bintang dilangit, supaya
semua orang tahu dia sedang berduka saat ini. Jam ditangan sudah menunjukkan
pukul 9.30 malam, tapi itu tidak menjadi halangan untuk dia terus bersendirian
melayan perasaan. Fikirannya masih lagi menayangkan slide kenangan yang telah
lama tersimpan kemas diingatannya. Terlalu banyak yang diingatnya. Telah dua
tahun ditinggalkan alam persekolahan dan teman-teman lama. Segalanya bagai baru
semalam beredar. Masa seakan cepat berputar tanpa disedari. Seri terlalu rindu
pada keriuhan semalam, namun dia sedar masa tak mampu diulangi kembali.
Seandainya bisa diputar masa lalu, Seri pasti segala kesilapan silam tak akan
diulangi lagi. Jika benar begitu, seharusnya sekarang Seri bersama
teman-temannya sedang bertungkus-lumus memerah otak bagi persediaan untuk ujian
di salah satu Universiti. Seri yakin itu pasti akan berlaku seandainya dia
diberi peluang. Perlahan-lahan matanya digenangi mutiara jernih. Kolam itu tak
mampu ditampung lagi lalu titik-titik jernih gugur jua membasahi pipinya.
Serasa ingin dijerit sekuat hati, biar semua tahu dukanya hati seorang gadis
bernama Seri. Biar semua dengar laranya hati kecil Seri. Apakah mereka akan
bersimpati padanya? Seri mengeluh, di saat ini tak seorang pun tahu bagaimana
dia berperang dengan perasaan sendiri. Bagaimana dia terpaksa berpura-pura
gembira untuk menghiburkan hatinya sendiri. Seri keseorangan tanpa teman.
Memang Seri lebih senang begitu, tapi disaat-saat seperti ini Seri memerlukan
seseorang yang memahami untuk meluahkan segala kebuntuan. Namun siapa yang sudi
mendengar keluhan seorang insan sepertinya. Keluarga? Seri tak pernah mengharap
ihsan keluarga. Bagi Seri, mereka tak ubah seperti patung hiasan. Hanya untuk
dipandang, tidak layak dilantik sebagai teman bicara. Seri akur dengan
kesibukkan ahli keluarganya. Justeru itu, Seri tak pernah mengharap perhatian
mereka. Teman-teman? Tentunya mereka sibuk dengan tugas harian sebagai seorang
pelajar. Siapalah Seri dimata mereka. Seri seperti merajuk dengan
teman-temannya. Seingat Seri hanya dia seorang antara teman sekelas yang
berkeadaan begini. Tak seorang pun dihubungi termasuk teman rapatnya, Ina.
Teringat kepada Ina sekaligus mengingatkannya kepada Putra. Seri tersenyum
sendirian. Kasihan pemuda itu. Seri tahu niatnya jujur, Seri yang tak tahu
menilai. Tapi apakan daya, hati dan perasaan bukan boleh dipaksa. Mungkin
dikala itu Seri masih mentah untuk membezakan kaca dan permata. Seri tak pernah
menduga akan pertemuan itu. Ia seperti pertemuan antara dua insan, yang mana
masing-masing sememangnya tidak merelai segala yang berlaku. Lantas pertemuan
itu dianggap satu kewujudan yang tak pernah diingini. Bukan sekali Seri
teringatkan Putra, berkali-kali. Malah pernah dicuba untuk mengutuskan surat
tapi, sering ada yang menghalang. Seri teringin untuk bertemu kembali lalu
menyatakan ucapan maaf, tapi Seri malu. Lantaran keadaannya sendiri yang masih
belum bersedia. Seri redha. Biarlah segalanya dalam ketentuan tuhan. Segalanya
terpaksa dilupakan, mata dicipta untuk memandang kehadapan bukan merentas masa
yang lepas. Terlalu sempurna ciptaan tuhan. Hanya manusia yang tak tahu
menilainya. Seri masih disitu menghitung kenangan lalu..masih
keseorangan..itulah SERI.......
**Novel ini aku tulis sewaktu aku berusia 18 tahun.. Dan kini aku masih menyambungnya.. Sepatutnya novel ini dicadangkan menjadi "novel duet", tapi disebabkan rakan duet aku menghilangkan diri, maka jadi la novel solo.. Hehe.. Tajuk aku tak tau nak letak apa.. Kalau ada cadangan, sila kemukakan.. InsyaAllah akan aku pertimbangkan.. Selamat Membaca !!**
-AkU-
Syurga Addin..
02:07 pagi..