Tuesday, November 16, 2010

~Syurga Cinta~

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt..

Saya bermula dengan kata-kata ini..

"...Allah swt ciptakan Hawa kerana Betapa Sayangnya DIA kepada Adam dan mengurniakan AMANAH dan TANGGUNGJAWAB buat "Adam" memelihara serta mendidik "Hawa" yakni isteri-isteri mereka sebaiknya kerana "Hawa" terlahir dari salah satu tulang rusuk "Adam". Andai rosak "Hawa", maka cacatlah "Adam" selamanya. Didik "Hawa" agar boleh menarik "Adam" ke syurga dan jangan biarkan "Hawa" menarik "Adam" ke neraka kerana jumlah "Hawa" di neraka terlalu ramai nanti. Semoga jumlah "Hawa" itu tidak termasuk isteri-isteri kita. Namun, jika "Hawa" itu sendiri tidak kenal erti keimanan, aurat tidak dipelihara, kata-kata tidak dijaga.. menabur fitnah, mengumpat, menghina serta mengeji... apakan daya "Adam" jika terpaksa biarkan "Hawa" ke neraka sendiri... wallahualam..."

Kata-kata ini saya pinjam dari seorang teman di ruangan Facebook..
Terima kasih kerana mengizinkan saya berkongsi kata-kata ini di blog saya..

Permulaan itu saya tuliskan kerana ingin berbicara tentang kisah-kisah kehidupan kita yang telah berumahtangga dan juga anda yang dalam perjalanan menuju ke arah itu..
Doa saya moga setiap yang membaca ini akan menyedari kekurangan dan kelemahan kita serta berusaha untuk memperbaiki apa yang kita rasakan perlu dalam kehidupan kita..
Saya juga masih lagi dalam pembelajaran untuk menikmati hidup rumahtangga yang aman dan damai..
Benar, laut mana yang tidak dilambung ombak dan bumi mana yang tidak ditimpa hujan..
Begitu juga saya dan suami, tak dapat lari dari masalah yang melanda..
Tapi seharusnya semakin usia pernikahan kita meningkat, semakin kita matang dan semakin bijak untuk menangani segala permasalahan..
Jangan terlalu mengikutkan hati dan nafsu yang bermaharajalela..

Pendapat peribadi saya..

Rumahtangga umpama sebuah rumah yang sempurna dan kukuh binaannya serta cantik hiasannya andai kita faham tanggungjawab dan peranan sebagai seorang Suami dan seorang Isteri..

Permulaannya sebidang tanah yang luas iaitu restu dari kedua ibu dan ayah.. Jangan sesekali abaikan restu ibu dan ayah kerana merekalah syurga kita sebelum dan sesudah kita bergelar Suami dan Isteri..

Setelah itu kita pacakkan tiang untuk membina sebuah rumah dimana ijab dan qabul yang terlafaz bersaksi kedua belah pihak.. Lafaz dan niat yang ikhlas dan lahir dari hati suci kita untuk memenuhi tuntutan agama, hanya kerana untuk menghalalkan yang haram..

Kemudian kita tambahkan batu bata dan kayu menjadi dinding dan bumbung sebagaimana permulaan perkongsian kehidupan kita sebagai suami dan isteri.. Saling mengenali antara satu sama lain.. Memahami kekurangan dan kelebihan antara pasangan..

Pastikan susunan batu bata dan kayu itu mengikut turutan yang sepatutnya agar kesempurnaan rumah itu tidak cacat pada pandangan orang lain, seperti kita sebagai isteri menjaga maruah suami agar tidak terlihat aib dan kekurangan suami dan juga sebagai suami menjaga kemuliaan seorang isteri agar tidak terkesan kelemahan dan kekhilafan seorang isteri.. Usah tega bercerita dan membuka keaiban rumahtangga serta pasangan pada penglihatan dan pendengaran di luar, kerana itu adalah umpama kita leraikan satu persatu batu bata yang menjadi dinding rumah kita bagi memperlihatkan kedudukan dalaman rumah kita yang berserakan..

Sesudah itu kita penuhkan rumah itu dengan hiasan dan perabot yang cantik sepertimana kita saling hormat menghormati, kasih mengasihi, saling mempercayai, bertolak ansur dan sebagainya serta menjalankan tanggungjawab kita sebagai suami dan isteri.. Jadilah seorang yang sentiasa sudi menjadi pendengar setia dan memahami masalah dan kesusahan serta penderitaan pasangan kita. Jangan bina tembok ego andai ada perbalahan yang berlaku. Belajarlah mengungkapkan kata maaf, biarpun sememangnya amat berat untuk menuturkan kata itu. Senantiasa bersedia untuk hidup dalam kerukunan jika Allah menguji kita dalam keadaan senang mahupun susah. Jangan hanya setia bersama bila dalam keadaan senang, tapi terus punah cinta yang terlafaz bila sahaja Allah duga dengan kesusahan. Andaikata kita terus mengikut amarah serta nafsu yang membara, ia sama seperti kita buang satu demi satu hiasan rumah kita sehinggalah tiada satu pun yang tertinggal. Maka jadilah ruang rumah kita kosong tanpa keindahan dan kecantikan yang pernah kita ukirkan bersama..

Sehinggalah kita hiaskan pula luaran rumah itu dengan bunga-bunga dan pokok-pokok yang rimbun dan redup bermaksud kita lahirkan anak-anak yang bakal menghiasi kehidupan kita suami dan isteri, mengasuh dan mendidik mereka agar menjadi anak yang soleh dan solehah.. Ajarlah mereka sedari awal untuk menghormati kita sebagai ibu dan ayah, supaya besarnya mereka nanti lebih membahagiakan kita dengan sikap dan tingkah laku mengikut ajaran Islam yang sesungguhnya. Jangan rosakkan mereka dengan kemanjaan dan kebendaan, kerana itu hanya akan menghancurkan diri dan masa depan mereka. Bimbing mereka menjadi anak yang mampu mendoakan ibu dan ayah mereka setelah Allah memanggil kita kembali mengadapNYA. Ingatlah bahawa doa anak-anak yang soleh antara yang akan kita bawa setelah Izrail datang menjemput..

Setiap saat dan ketika kita berdoa dan memohon pada Ilahi moga rumah yang kita bina sekian lama itu akan tetap kukuh bertahan hingga ke hujung usia, dan bakal terbina pula di Syurga Akhirat..
InsyaAllah, andai itu yang kita lakukan.. Syurga Cinta itu tetap kukuh biarpun dilanda badai dan terbina bertahun lamanya..

Benar tanggungjawab seorang Suami adalah untuk mendidik dan menjaga seorang Isteri agar mengikut landasan dan jalan yang telah ditetapkan Allah swt..
Namun seorang Isteri juga harus sedar dan faham apa makna ISTERI itu sendiri serta tuntutan agama terhadap seorang isteri..
Seorang suami pastinya mengidamkan seorang isteri yang memiliki ciri-ciri wanita solehah dan mithali..
Namun takkan semua mampu peroleh wanita sedemikian..
Sepertimana seorang Isteri yang menginginkan seorang Suami yang soleh dan bercirikan seorang khalifah..
Mustahil untuk semua wanita mendapatkannya..


Buat suami-suami..
Isteri bukanlah hakmilik.. Ia anugerah dan amanah Allah.. Bukan dari kepala untuk dijunjung kehendaknya.. Bukan juga di kaki untuk diinjak semahunya.. Dijadikan dari tulang rusuk ADAM.. Dekat dengan lengan untuk dilindungi dan dibelai.. Dekat dengan hati untuk dikasihi, disayangi dan dicintai.. Cintailah isteri-isteri anda ya Suami..


Buat isteri-isteri..
Suami bukanlah hak milik.. Ia anugerah dan amanah Allah.. Bukan untuk diherdik tengking.. Bukan juga untuk dijunjung walau terkhilaf ajarannya.. Tetapi untuk dikasihi, disayangi dan dicintai.. Taatilah mereka wahai isteri.. Kerana itu Syurga Akhirat kita.. Cintailah suami anda ya Isteri..

Berdoalah kita agar dikurniakan SUAMI dan ISTERI yang mampu memimpin kita ke SYURGA dan bukannya mengheret tangan kita terus ke NERAKA..

InsyaAllah.. Amin...


Salam penuh kasih sayang..

-AkU-
Syurga Addin...
01:00 pagi...

0 Kata-kata kamu..:

Post a Comment